اهلا و سهلا و مرحبا بكم

اهلا و سهلا و مرحبا بكم

Selamat Datang ke Blog Panitia Pendidikan Agama Islam SK Bandar Tun Hussein Onn 2,Cheras,Selangor.

Tuesday, 1 November 2011

MUZIK: HUKUM DAN KEDUDUKANNYA PADA PANDANGAN SYARAK



MUZIK: HUKUM DAN KEDUDUKANNYA PADA PANDANGAN SYARAK


MUQADDIMAH

Muzik pada umumnya merupakan alat-alat tertentu yang timbul daripadanya alunan bunyi dan irama sama ada ia berbentuk yang dipukul atau dipalu seperti gendang, rebana dan lain-lain atau yang ditiup seperti seruling, serunai, trompet dan lain-lain atau yang dipetik seperti gambus, gitar, biola dan seumpamanya. Kedudukan hukum muzik ini bergantung kepada apa jenis alat dan penggunaannya kerana ada diantaranya yang diharamkan oleh syarak dan ada pula diharuskan. Oleh itu kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:

a) Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syarak, maka kedudukan muzik itu adalah haram.

b) Menggunakan alat-alat muzik yang diharuskan oleh syarak, maka kedudukannya adalah harus seperti memukul ghirbal (sejenis rebana) sewaktu perkahwinan.

c) Bermain alat muzik yang harus, namun telah dicampur dengan perkara-perkara yang haram seperti nyanyian-nyanyian oleh golongan wanita dalam keadaan mendedahkan aurat di hadapan golongan lelaki ajnabi atau bukan mahram dengan suara yang merdu, lirik lagu yang mengandungi unsur-unsur cinta asmara, percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, disertai dengan arak, judi dan sebagainya. Para ulamak telah sepakat menghukumkan bermain alat muzik dalam keadaan seperti ini adalah haram.

Persoalan yang timbul sekarang ialah yang mana satukah alat muzik yang diharamkan oleh syarak dan mana satu yang diharuskan. Adakah semua alat muzik itu diharamkan atau semuanya diharuskan atau sebahagiannya diharamkan dan sebahagiannya pula diharuskan. Adakah pengharaman itu ke atas alat-alat muzik itu sendiri atau kerana faktor-faktor luar yang beserta dengan alat-alat muzik tersebut. Inilah yang akan kita bahaskan di dalam risalah yang kecil dan ringkas ini.

PANDANGAN ULAMAK MENGENAI ALAT MUZIK

Terdapat pelbagai pandangan di kalangan ulamak mengenai perkara di atas. Mereka tidak sepakat mengenainya disebabkan perbezaan pandangan dalam memahami hadis-hadis yang menyebut mengenai alat-alat muzik dan juga dari segi penentuan kedudukan martabat hadis-hadis yang diriwayatkan mengenainya.

Golongan Ulamak Yang Pertama


Sebahagian ulamak mengharamkan hampir semua bentuk alat-alat hiburan atau muzik. Mereka berdalilkan kepada beberapa hadis yang menyebut tentang alat-alat muzik yang ditegah oleh syarak sepertimana berikut:

a) Diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:

Bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan Aku supaya menghapuskan alat ma’azif (alat bunyi-bunyian), alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (alat-alat muzik bertali), salib dan perkara-perkara jahiliah ………..( hingga ke akhir hadis ).
( Riwayat Abu Daud al Thoyalisi )

Hadis ini diriwayatkan oleh al Imam Abu Daud al Thoyalisi dan lafaz hadis ini dari riwayatnya dan juga diriwayatkan oleh al Imam Ahmad bin Hanbal. Ahmad bin Mani’Al Harits Ibnu Abu Usamah pula meriwayatkan dengan lafaz yang bermaksud:

Bahawa Allah Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku (menjadi Nabi) dengan membawa rahmat dan hidayat kepada sekelian alam dan Allah memerintahkan Aku supaya menghapuskan mazamir, ma’azif, arak dan berhala-berhala yang disembah pada zaman jahiliah ……..( hingga ke akhir hadis ).

Hadis Abu Umamah ini terdapat pada rawinya Ali bin Yazid al Ilhani dan dia adalah lemah keadaannya, tetapi oleh kerana ia disokong oleh sumber yang lain seperti hadis Ibnu Mas’ud dan lain-lain sahabat maka hadis ini menjadi kuat. Antara hadis yang menyokong hadis itu juga ialah hadis riwayat Ibnu ‘Abbas r.a. yang telah berkata:
الكوبة حرام والدن حرام والمعازف حرام والمزامير حرام
Maksudnya: Kubah itu haram, dannu itu haram, ma’azif itu haram dan alat muzik jenis bertiup itu haram. (lihat bentuk gambar yang dilampirkan)

Hadis ini diriwayat oleh al Imam Musaddad dan al Imam al Baihaqi dalam al Sunan al Kubra secara mauquf dan diriwayatkan oleh al Bazzar secara marfu’.

b) Dari Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: Aku diperintahkan untuk merobohkan alat gendang dan alat hiburan yang ditiup.
Dikeluarkan oleh al Dailami

c) Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud: Apabila tiba hari kiamat, Allah Azza wa Jalla berfirman: Mana mereka yang menjauhkan pendengaran dan pemandangan mereka daripada alat-alat permainan syaitan? Asingkan mereka…..(hingga ke akhir hadis)
Dikeluarkan oleh al Dailami

Berkata al Imam Ibnu Hajar, hadis ini jelas menunjukkan pengharaman alat-alat hiburan yang mendatangkan sukaria dan gembira yang membawa kepada kelalaian.


d) Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang berkmasud: Satu kumpulan daripada umatKu pada akhir zaman, ditukarkan mereka menjadi monyet-monyet dan babi-babi. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah, adakah mereka orang-orang Islam ? Sabda Baginda: Ya, mereka mengucap dua kalimah syahadah iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Aku adalah pesuruh Allah dan mereka mengerjakan puasa. Para sahabat bertanya: Mengapa mereka menjadi begitu, ya Rasulullah? Sabda Baginda: Mereka bermain dan berhibur dengan alat-alat bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita dan dengan rebana serta mereka minum berbagai jenis arak dan mereka bermalam dengan minuman mereka dan hiburan riuh rendah mereka, maka pada pagi hari mereka telah ditukarkan rupa menjadi monyet dan babi.

Hadis ini diriwayatkan oleh al Imam al Musaddad dan Ibnu Hibban dengan lafaznya yang bermaksud: Telah bersabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam: Tidak berlaku hari kiamat sehingga ada satu kumpulan……..(hingga ke akhir hadis sebagaimana riwayat di atas ).

e) Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Akan berlaku pada umatKu oleh beberapa kumpulan atau kaum menghalalkan zina, sutera (dipakai oleh kaum lelaki), arak dan ma’azif (alat-alat bunyi-bunyian).
(Hadis Riwayat al Bukhari dan Abu Daud)

Demikianlah beberapa hadis yang menjadi dalil kepada sebahagian ulamak yang mengaharamkan alat-alat hiburan (muzik).

Dalam kitab al Muhazzab oleh al Imam Abu Ishak al Syirazi ada menjelaskan bahawa bermain alat-alat muzik itu haram sekalipun tidak diiringi dengan lagu. Kata al Syirazi:

ويحرم إستعمال الألات التى تطرب من غير غناء كالعود والطنبور والمعزفة والطبل والمزمار
Ertinya: Dan diharamkan menggunakan alat-alat (muzik) yang dibunyikan tanpa ada lagu seperti gitar, thunbur, ma’zifah, thabl (gendang) dan mizmar.

Adapun dalilnya ialah firman Allah yang bermaksud: Dan ada di antara manusia yang membeli “ Lahwa al Hadis ” bagi tujuan menyesatkan manusia daripada jalan Allah..
( Surah Luqman: 6 )

Berkata Ibnu Abbas: “ Lahwa al Hadis ” sesungguhnya itulah alat-alat hiburan.

Al Imam al Nawawi mengatakan dalam kitabnya al Minhaj dalam Kitab al Syahadat:

ويكره الغناء بلا آلة وسماعه ويحرم استعمال آلة من شعار الشربة كطنبور وعود وصنج
ومزمار عراقي واستماعها.
Ertinya: Makruh menyanyi dengan tidak disertai alat (muzik) dan mendengarnya. Dan adalah haram menggunakan alat (muzik) yang menjadi syiar peminum-peminum (arak) seperti thunbur, gitar, shanj dan mizmar ‘iraqi dan haram mendengarnya.


Demikianlah pandangan beberapa orang ulamak besar dalam mazhab syafi’e mengenai hukum menggunakan muzik dan mendengarnya. Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh beberapa ulamak besar yang lain seperti al Syeikh Ibnu Hajar dalam kitabnya al Zawajir dan juga al Imam al Ramli al Syafi’e sebagaimana tercatat dalam kitab Nihayah al Muhtaj ila Syarh al Minhaj (8/296), yang menggambarkan inilah pandangan umum dan masyhur dalam mazhab syafi’e.

Ulama-ulama dalam mazhab syafi’e bukanlah satu-satunya mazhab yang mengharamkan hampir kesemua alat-alat muzik, bahkan didapati mazhab-mazhab yang lain seperti Hanafi dan Hanbali juga berpandangan sedemikian.

Berkata Ibnu al Qayyim dalam kitabnya Ighathah al Luhfan min Masyahid al Syaithan (1/255-256): Ertinya: Mazhab Abu Hanifah dalam perkara ini adalah mazhab yang paling keras dan kata-katanya mengenai perkara ini adalah kata-kata yang paling tegas. Para sahabat Abu Hanifah dengan tegas mengatakan haram mendengar semua jenis alat hiburan seperti seruling, kompang bahkan termasuk memukul-mukulkan tongkat kecil (cota) sekalipun. Mereka dengan tegas menyatakan bahawa ianya adalah maksiat, boleh membawa kepada fasiq dan kesaksian ditolak.

Dalam Mazhab Hanbali, berkata Imam Ibnu Qudamah al Hambali dalam al Mughni yang boleh disimpulkan sebagaimana berikut:

Hiburan itu tiga keadaan:

a) Haram- iaitu memetik tali-tali alat permainan dan alat-alat yang ditiup, memalu gambus,thunbur dan lain-lain alat hiburan. Sesiapa yang sengaja mendengarnya maka ditolak kesaksiannya kerana diriwayatkan daripada Saiyyidina Ali r.a. bahawa Nabi Sollallahu ‘alaihiwasallam bersabda yang maksudnya: Apabila telah nyata pada umatKu lima belas perkara nescaya bala akan menimpa mereka. Maka Baginda menyebutkan di antaranya: Muncul alat-alat nyanyian dan alat-alat hiburan.

b) Harus- iaitu duff (kompang), kerana Nabi Sollallahu ‘alahi Wasallam telah bersabda yang maksudnya: Zahirkanlah kerja perkahwinan itu kepada orang ramai dan kamu palulah kompang padanya.

c) Makruh- iaitu memalu kayu pada kayu apabila tidak dicampur dengan perkara haram atau makruh.

Berkata al Imam al Sayyid ‘Alwi al Maliki al Husni: Ketahuilah bahawa alat-alat hiburan yang mempunyai tali seperti rabab, gitar dan qanun haram mendengarnya dan haram memainkannya mengikut pendapat yang masyhur dari mazhab yang empat dan wajib mengingkarinya (mendengar alat-alat tersebut) dan memberikan nasihat mengenainya. Adapun memukul rebana tidaklah mengapa dalam majlis pernikahan berdasarkan hadis Nabi Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Iklankanlah pernikahan dan kamu pukullah rebana (al Duff) di atas pernikahan itu. Namun tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur tetapi lawan pendapat yang masyhur, harus memukul (alat rebana) dalam semua upacara majlis kegembiraan orang-orang Islam.
Golongan Ulamak Yang Kedua

Di sana terdapat sebahagian ulamak yang mengharuskan alat-alat nyanyian atau muzik. Antara ulamak-ulamak tersebut ialah Al Syeikh Mahmud Syaltut. Beliau telah menjelaskan dalam fatwanya Al Fatawa Dirasah li Musykilat al Muslim al Mu’asir fi Hayatihi al Yaumiyyah wa al ‘Ammah di mana katanya:

“ Mendengar alat-alat bunyian yang ada irama dan suara yang merdu tiada boleh dihukumkan haram sebagai ia suara alat atau suara manusia atau suara binatang. Hanya haram itu apabila digunakan pada perkara haram atau digunakan untuk tujuan haram atau ia melalaikan daripada perkara yang wajib pada syara’ ”.

Selain itu, Dr. Ahmad al Syarbashi juga menghimpunkan segala fatwa ulamak dalam kitabnya Yas’alunaka ‘an al Din wa al Hayah dalam perkara mendengar muzik dan nyanyian. Daripada perbincangannya itu dapat disimpulkan bahawa beliau berpendapat, fatwa al ‘Allamah al Syeikh Mahmud Syaltut itu adalah pendapat pertengahan yang adil di antara ulamak yang mengharamkan dan ulamak yang mengharuskan dalam perkara muzik dan nyanyian itu.

Al ‘Allamah al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi menegaskan dalam kitabnya Idhoh al Dilalat fi Sama’i al Alat -(Menjelaskan dalil-dalil dalam masalah yang berkait dengan hukum mendengar alat-alat muzik) - bahawa hukum haram segala bentuk alat muzik yang disebutkan di dalam hadis bukanlah disebabkan alat-alat muzik itu sendiri atau suara dan bunyian yang terhasil daripadanya. Kalaulah dihukumkan dengan sebab yang demikian, maka sudah tentulah bunyi-bunyian yang merdu seperti suara burung akan termasuk dalam hukum haram. Sedangkan ulamak telah bersepakat bahawa suara kicauan burung dan seumpamanya itu tidaklah dihukum haram. Bahkan menggunakan dan mendengar alat-alat muzik dihukum haram adalah disebabkan faktor-faktor luar yang haram yang beserta dengannya dan juga yang membawa kepada “ al Lahwu ”. Menurut beliau “ al Lahwu ” ialah perkara-perkara yang dengannya menyebabkan manusia lalai daripada melakukan ketaatan dan menunaikan kewajipan kepada Allah serta membawanya kepada melakukan perkara-perkara yang haram dan dilarang oleh syariat.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa sesiapa yang memerhatikan semua hadis yang datang daripada Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam mengenai alat-alat muzik ini, dia akan mendapati larangan-larangan tersebut dikaitkan dengan menyebut ‘ al Malahi ’ – iaitu perkara-perkara yang melalaikan- dan juga menyebut tentang arak, penyanyi-penyanyi perempuan yang mendedahkan aurat, perkara-perkara keji dan kefasikan bersamanya. Ini bermakna ia dihukum haram dengan sebab perkara-perkara haram tersebut bukannya alat muzik itu sendiri. Hadis-hadis yang tidak menyebutkan perkara-perkara tersebut adalah hadis-hadis Ahad yang tidak boleh dithabitkan hukum dengannya secara qot’ie (putus dan muktamad). Bahkan hadis-hadis yang bersifat mutlak (umum) ini, dikhususkan oleh hadis-hadis yang menyebut tentang perkara-perkara haram yang mengiringi permainan muzik. Dengan itu, maka hadis-hadis yang menyebut tentang pengharaman alat-alat muzik hendaklah dilihat dalam konteks bahawa ianya disertai dengan perkara-perkara haram dan boleh menyebabkan kelalaian kerana di sana terdapat hadis yang melarang bermain muzik dikaitkan dengan perkara tersebut.


Beliau juga mensyaratkan tujuan dan niat yang baik walaupun tidak disertai dengan perkara-perkara haram dan melalaikan ketika bermain muzik dan mendengar nyanyian yang diharuskan. Niat memainkan peranan. Sekiranya dia mempunyai niat atau cita-cita yang tidak baik melalui alat muzik yang dimainkan serta nyanyian harus yang didengarinya seperti bercita-cita atau berkhayal meminum arak, berfoya-berfoya dan berseronok dengan perempuan ketika bermain muzik dan mendengar lagu itu atau dia mahu kalau boleh perkara tersebut ada dalam majlis tersebut, maka hukumnya adalah haram juga. Peranan niat yang membawa kesan kepada hukum harus dan haram ini samalah seperti peranan niat ketika membaca al Quran bagi mereka yang berada dalam keadaan berhadas besar. Jika dia berniat membaca al Quran maka hukumnya adalah haram dan jika berniat zikir maka hukumnya adalah harus. Begitu juga seseorang yang minum air teh dengan niat minum arak dan juga seorang suami yang bersetubuh dengan isteri dalam keadaan dia niat menggauli atau menggambarkan isterinya itu adalah perempuan tertentu yang bukan isterinya maka kedua keadaan tersebut, hukumnya adalah haram.

Pendapat Al ‘Allamah al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi ini turut dipersetujui oleh al Ustaz Mustofa Ahmad al Zarqa sebagaimana tersebut di dalam kitabnya Fatawa Mustofa al Zarqa. Bahkan beliau turut memperakui bahawa kitab karangan Al ‘Allamah al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi tersebut adalah sebagai rujukan terbaik dalam mengetahui hukum yang berkait dengan masalah alat-alat muzik. Dalam kitab Fatawanya juga, al Ustaz Mustofa Ahmad al Zarqa telah menukilkan pandangan al ‘Allamah Ibnu ‘Abidin r.a. di dalam Hasyiahnya, syarah kepada kitab Raddu al Mukhtar di mana nas kata-katanya ialah:

“Aku berpendapat (setelah dikemukakan hujjah dan dalil berkenaan dengan alat-alat muzik): ini semua memberi maksud bahawa alat-alat muzik itu bukanlah haram kerana alat muzik itu sendiri, tetapi ia di sebabkan al lahwu ( iaitu disertai dengan perkara-perkara haram dan melalaikan daripada menunaikan tanggunggjawab dan kewajipan kepada Allah). Hukum ini sama sahaja sama ada orang yang mendengarnya atau bermain menggunakannya ”. Beliau seterusnya menegaskan “ Apakah kamu tidak lihat bahawa hukum bermain alat muzik itu, kadang-kadang harus dan kadang-kadang dihukum haram. Ini semua adalah disebabkan perbezaan niat dan tujuan mendengarnya. Dan sesungguhnya setiap perkara itu adalah berdasarkan kepada tujuan dan niatnya ”.

Di antara ulamak mutakhir di zaman kita ini yang sependapat dengan golongan ulamak yang kedua ini ialah al Syeikh Dr. Yusuf al Qardhowi sebagaimana dijelaskan dan dihuraikan dengan panjang lebar dalam kitabnya Malamih al Mujtama’ al Muslim Allazi Nansyuduhu - ( Ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang kita idamkan) - dan juga al Halal wa al Haram fi al Islam - ( Halal dan haram dalam Islam ). Dalam huraian tersebut beliau telah menolak hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh golongan yang mengharamkan alat-alat muzik dengan menyatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai alat-alat muzik adalah dipertikaikan akan kesahihannya.


Sekalipun hadis ke v (lihat hadis-hadis yang menjadi hujjah kepada golongan yang mengharamkan alat-alat muzik di atas) di sebutkan di dalam kitab Sahih al Bukhari tetapi ia termasuk dalam kategori “ al Mu’allaqat” bukan termasuk di dalam kategori hadis yang sanadnya bersambung. Pada sanadnya terdapat seorang perawi Hisyam bin Ibn ‘Ammar yang dipersoalkan oleh sebahagian ahli hadis. Abu Daud berkata tentangnya: Beliau meriwayatkan empat ratus hadis yang tidak mempunyai sebarang sandaran. Imam Ahmad berkata: Dia tidak teliti dan lemah akal. Al Hafiz al Zahabi pernah berkata mengenainya: Beliau jujur dan banyak riwayat, namun ada perkara yang tidak disenangi tentangnya. Selain daripada dipertikaikan kesahihannya, pendalilannya juga dipertikaikan. Ini kerana perkataan al ma’azif sebagaimana dalam hadis tersebut belum ada persepakatan tentang maknanya secara tepat. Menurut sebahagian orang ia bermaksud “ permainan-permainan ”. Ini sangat umum. Ada juga yang mengatakan ia bermakna “ alat-alat muzik ”.

Selain itu, hadis itu juga tidak mempunyai makna yang jelas tentang pengharamannya kerana ungkapan ( يستحلون –yang diterjemahkan dengan makna mereka menghalalkan ) dalam hadis itu mempunyai dua makna sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al ‘Arabi. Makna pertama ialah dengan makna hakiki bukan majaz iaitu mereka beriktikad bahawa perkara tersebut adalah halal. Makna kedua: ia adalah kiasan (majaz) yang bermaksud bermudah-mudah menggunakan perkara tersebut. Beliau juga telah menegaskan bahawa hadis ini adalah menjelaskan tentang perilaku sekelompok manusia yang tenggelam dalam kemewahan, kefoyaan dan arak. Mereka dikelilingi oleh arak dan wanita, permainan dan nyanyian serta zina dan sutera. Oleh itu kita dapati Ibn Majah meriwayatkan Hadis ini dari Abu Malik al Asy’ari dengan lafaz yang bermaksud:

“ Akan ada di kalangan umatKu yang akan meminum arak yang dinamakan dengan nama lain. Kepala-kepala mereka dipenuhi dengan alat-alat muzik dan penyanyi-penyanyi wanita. Allah akan memasukkan mereka ke dalam tanah dan akan menggantikan rupa mereka dengan rupa kera dan babi ”.

Perkara yang sama juga telah diriwayatkan oleh Ibn Hibban di dalam kitab Sahihnya dan al Bukhari di dalam kitab Tarikhnya. Setiap mereka yang meriwayatkan hadis ini bukan melalui Hisyam Ibn ‘Ammar meletakkan ancaman itu ke atas orang yang meminum arak dan bukannya pada alat-alat muzik tersebut.Alat-alat muzik tersebut hanya dijadikan sebagai penyempurna dan yang mengikuti mereka.

Di samping itu beliau juga telah menukilkan beberapa riwayat sebagimana yang disebutkan oleh al Syaukani dalam kitabnya Nailu al Awthor bagi menyokong dan menguatkan pandangan ulamak yang mengharuskan alat-alat muzik. Antaranya ialah:

a) Imam Haramain di dalam kitab al Nihayah dan Ibnu Abu al Dunya telah menyatakan: Para sejarawan telah menukilkan bahawa Abdullah Ibn al Zubair memiliki beberapa hamba wanita yang pandai bermain gitar, dan Ibnu Umar pernah ke rumah beliau serta mendapati al ‘ud (sejenis alat bertali seperti gitar dan seumpamanya) terdapat di sisinya. Ibnu Umar berkata: Apakah ini wahai sahabat Rasulullah?. Abdullah Ibn al Zubair pun memberikannya kepada Ibnu Umar untuk dilihatnya. Ibnu Umar menelitinya dan berkata: Adakah ini mizan syami ( sejenis alat muzik dari Syam)?. Abdullah Ibn al Zubair berkata: Ya, dengannya diukur akal manusia.

b) Pengarang kitab al ‘Aqd, al ‘Allamah al Adib Abu Umar al Andalusi menceritakan: Pada suatu hari Abdullah Ibnu Umar mengunjungi Abdullah Ibnu Ja’far. Beliau mendapati Abdullah Ibnu Ja’far memiliki seorang hamba perempuan yang di dalam biliknya terdapat al ‘ud. Kemudian Abdullah Ibnu Ja’far berkata kepada Ibnu Umar: Adakah kamu rasa ia tidak mengapa?. Katanya: Ia tidak menjadi sebarang kesalahan.

c) Imam al Mawardi telah meriwayatkan daripada Mu’awiyyah dan ‘Amru Ibn al ‘As bahawa mereka berdua pernah mendengar bunyi al ‘ud yang dimainkan di hadapan Abdullah Ibnu Ja’far. Bahkan Abu Fadhl Ibnu Tahir di dalam kitabnya al Sima’ menyatakan: Tiada khilaf di kalangan Ahli Madinah tentang keharusan al ‘ud.

d) Abu al Faraj al Asbahani pernah menyatakan bahawa Hassan bin Thabit pernah mendengar dari ‘Izzah al Mila nyanyian syairnya yang diiringi dengan bunyian alat muzik.

e) Al Rawyani pernah menceritakan dari al Qaffal bahawa Mazhab Malik bin Anas mengharuskan nyanyian yang disertakan alat muzik. Al Ustaz Abu Mansur al Fawrani menukilkan dari Imam Malik bahawa beliau mengharuskan al ‘ud. Manakala Abi Talib al Makkiy telah menyebutkan dalam kitabnya Qutu al Qulub yang dinukilkan dari Syu’bah bahawa beliau pernah mendengar bunyi gendang besar (thonbur) di rumah al Minhal Ibnu ‘Amru iaitu seorang ahli hadis yang masyhur.

f) Imam al Mawardi menceritakan tentang keharusan al ‘ud di kalangan sebahagian ulama mazhab syafi’e. Ia juga diceritakan oleh Abu al Fadhl Ibnu Tahir dari Abu Ishak al Syirazi. Al Asnawi menyebutkannya dalam kitab al Muhimmat dari al Rawyani dan al Mawardi. Ibnu al Nahwi meriwayatkan perkara tersebut dari al Ustaz Abu Mansur. Ibnu al Mulaqqin menceritakannya di dalam kitab al Umdah dari Ibnu Tahir. Al Adfuwi menceritakannya dari al Syeikh ‘Izzuddin Ibnu Abdul Salam. Pengarang kitab al Imta’ menceritakannya daripada Abu Bakar bin al ‘Arabiy. Imam al Adfuwi juga telah menegaskan keharusannya.

Semua mereka itu menyatakan keharusan mendengar nyanyian (yang diharuskan syarak) bersama dengan alat-alat muzik yang dimaklumi.

Selain daripada Dr. Yusuf al Qardhowi, bekas Syeikh al Azhar Fadhilah al Imam al Akbar al Syeikh Ja-du al Haq Ali Ja-du al Haq (telah meninggal dunia pada pertengahan 90 an) juga bersependapat dengan pendapat yang mengharuskan alat-alat muzik sebagaimana yang dapat dilihat dalam kitab himpunan fatwa-fatwanya mengenai persoalan-persoalan semasa yang bernama Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qodhoya Mu’asirah, juzuk ke v. Dalam jawapan atau fatwanya yang panjang lebar mengenai hukum mendengar alat muzik itu, beliau akhirnya membuat kesimpulan dengan berkata: “ sebagai mengambil sikap jalan tengah antara pendapat-pendapat ulamak tersebut, maka kami lebih cenderung untuk berkata bahawa mendengar alat-alat muzik walau apa pun jenis dan bentuknya, menghadiri majlis-majlisnya dan mempelajarinya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang diharuskan. Dengan syarat ia tidak mendorong kepada membangkitkan nafsu syahwat, perlakuan-perlakuan tidak senonoh dan tidak disertai dengan arak, tarian-tarian, perkara-perkara yang buruk dan fasik atau digunakan untuk perkara-perkara haram atau ia digunakan sebagai wasilah atau alat yang membawa kepada berlakunya perkara haram dan mungkar atau ianya boleh melalaikan daripada menunaikan tanggungjawab dan kewajipan.

Golongan Ulamak Yang Ketiga

Golongan ini ialah golongan yang mengharamkan beberapa jenis alat muzik dan mengharuskan selain daripadanya. Alat-alat muzik yang diharamkan itu ialah (al mizmar- المزمار ) seruling atau semua alat yang ditiup seperti serunai dan seumpamanya, (al awtar – الأوتار ) alat muzik bertali dan (Thoblu al Kubah – طبل الكوبة) gendang kecil yang ramping di tengah (lihat gambar-gambar alat tersebut sebagaimana dilampirkan). Inilah pendapat di sisi Imam al Ghazali r.a. dan mereka yang sependapat dengannya. Ini kerana ia menjadi lambang kepada peminum arak dan khunsa. Selain daripada alat-alat muzik tersebut hukumnya masih kekal dengan seperti asalnya iaitu harus. Umpamanya rebana sekalipun terdapat loceng kecil padanya, begitu juga dengan tabuh, syahin dan gendang yang dipukul dengan kayu serta alat-alat lain.

Al Imam al Ghazali berhujjah dengan berkata bahawa syarak tidak mengharamkan alat-alat tersebut kerana kelazatannya. Jikalau ia hanya kerana kelazatannya maka perkara-perkara lazat yang lain turut dilarang. Ia dilarang atas dasar turutan (ittiba’). Apabila arak diharamkan, maka semua amalan peminum arak turut diharamkan bersama iaitu alat muzik bertali dan seruling. Keadaan ini samalah seperti pengharaman berkhalwat dengan wanita ajnabiyyah kerana ia boleh membawa kepada persetubuhan. Begitu juga dengan pengharaman memandang ke arah peha kerana ia bersambung dengan dua kemaluan. Diharamkan juga arak yang sedikit sekalipun tidak memabukkan kerana ia membawa kepada mabuk. Setiap perkara yang mendorong kepada yang haram mesti diharamkan juga sebagai satu jalan menghalang daripada terjatuh terus ke dalam jurang yang pasti haram. Muzik bertali dan seruling (atau seumpamanya) menjadi haram kerana mengikuti pengharaman arak lantaran tiga alasan:

a) Ia boleh mengakibatkan seseorang itu meminum arak, kerana kelazatan yang ada padanya hanya akan sempurna dengan arak.

b) Alat ini menyebabkan orang-orang yang baru meninggalkan arak mengingati kembali majlis-majlis hiburan yang dihidangkan dengan arak. Ini kerana majlis hiburan tersebut kebiasaannya diserikan dengan alat-alat muzik tersebut. Dengan itu apabila dia bermain dengan muzik tersebut, maka ia akan membawa kepada ingatan terhadap majlis itu. Ingatan akan mendorong kepada kerinduan. Dengan itu alat muzik tersebut menjadi penyebab seseorang yang telah meninggalkan amalan meminum arak kembali melakukannya.
c) Terdapat ijma’ ulamak mengenainya, kerana ia telah menjadi amalan orang-orang fasik. Oleh itu ia dilarang kerana menyerupai mereka. Ini kerana sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk di kalangan kaum tersebut.

KESIMPULAN

Daripada perbincangan di atas kita dapat membuat beberapa kesimpulan sepertimana berikut:-

a) Pada umumnya terdapat tiga pendapat ulamak mengenai kedudukan hukum alat-alat muzik. Mereka itu ialah:

1) Yang mengharamkan semua jenis dan bentuk alat muzik kecuali al dufuf iaitu kompang atau rebana yang dipukul ketika majlis pernikahan kerana terdapat hadis yang sahih mengenai keharusannya. Namun ia tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur. Tetapi lawan pendapat yang masyhur adalah harus memukul alat rebana atau kompang dalam semua upacara majlis kegembiraan umat Islam.

2) Yang mengharuskan semua jenis dan bentuk alat-alat muzik. Mereka berpendapat bahawa yang haram itu bukalah zat atau ain alat muzik itu sendiri tetapi faktor-faktor luar yang mengiringinya itu yang menentukan sama ada ia menjadi haram atau sebaliknya.

3) Yang mengaharamkan beberapa jenis alat muzik - iaitu al Mizmar, al Awtar dan Thoblu al Kubah – dan mengharuskan selain daripadanya.

b) Ketiga-tiga golongan ulamak tersebut di atas mempunyai hujjah dan dalil-dalil yang masing-masing mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Dalam perbincangan ini, penulis tidak berhajat untuk mentarjihkan (menentukan manakah pendapat yang paling kuat dan sahih). Apa yang penting di sini ialah kita dapati bahawa persoalan berkenaan dengan hukum alat muzik ini merupakan satu perkara yang menjadi khilaf (perselisihan pendapat) di kalangan ulamak. Mereka tidak sepakat mengenainya. Ini bermakna ia tidak termasuk dalam perkara ijmak para ulamak. Inilah yang ditegaskan oleh al Syeikh Ja-du al Haq dalam kitab Fatawa beliau. Dalam fatwanya itu beliau telah menolak dakwaan sesetengah golongan yang mendakwa bahawa persoalan muzik dan mendengarnya adalah termasuk dalam perkara ijmak para ulamak. Penolakan beliau itu berdasarkan kepada apa yang dihuraikan oleh al Imam al Syaukani di dalam risalahnya yang bertajuk Ibtol Da’wa al Ijma’ ‘ala Tahrim Mutlak al Sima’ – iaitu Membatalkan Dakwaan Ijma’ Para Ulamak Ke Atas Hukum Haram Mendengar Muzik Secara Mutlak. Dengan ini, maka sewajarnyalah kita saling meraikan dan menghormati pendapat atau pendirian golongan yang mungkin berbeza dengan pendapat atau pendirian kita. Kita tidak boleh menghukum secara muktamad umpamanya mengatakan bahawa dia adalah haram sama sekali dan sesiapa yang menggunakannya maka berdosa, menjadi fasik dan ditolak kesaksiannya. Kita seharusnya berhati-hati apabila mengeluarkan hukum khususnya yang melibatkan halal dan haram. Imam Malik pernah berkata: Tidak pernah menjadi sikap golongan yang telah mendahului kita yang telah menjadi ikutan mengatakan: “ Ini halal, itu haram. Sebaliknya mereka berkata: Saya tidak suka ini, saya berpendapat begini ”. Dalam menentukan hukum, kita seharusnya juga mengambil kira dari sudut kepentingan dan kemaslahatan dakwah. Lebih-lebih lagi dalam keadaan masyarakat kita pada hari ini yang kelihatan hampir sudah sebati dengan bentuk hiburan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Janganlah kerana sesuatu keputusan hukum yang diambil itu boleh menyempitkan ruang dan peluang menyelamatkan masyarakat daripada keadaan tersebut. Di samping itu kita tidak lupa bahawa apa yang dikatakan keseronokan, hiburan dan seumpamanya merupakan satu sifat kehendak naluri manusia semulajadi yang tidak boleh kita hapuskan. Persoalannya bagaimana kita hendak ketengahkan bentuk hiburan yang diizinkan syarak atau alternatif kepada hiburan yang ada pada hari ini tanpa kita menafikan kehendak naluri manusia itu.

c) Melihat kepada senario industri muzik pada hari ini, khususnya yang melibatkan artis-artis wanita tanah air atau yang diimport dari negara-negara luar, maka penulis tidak-tidak teragak-agak untuk menghukum haram ke atasnya. Ini kerana jelas kepada kita keadaan mereka yang mendedahkan aurat secara terbuka, mengenakan solekan yang agak keterlaluan, menari berlenggang lenggok di atas pentas dengan pakaian menjolok mata, pergaulan bebas tanpa batasan antara lelaki dan perempuan, lirik lagu yang memuja cinta dan manusia dengan suara yang lunak dan memukau para penonton, melalai dan mengkhayalkan anak-anak muda sehingga kadang-kadang sampai kelarut malam sepertimana persembahan yang pernah berlaku di Dataran Merdeka atau Bukit Jalil yang kelihatan penuh dengan sampah-sampah terdiri daripada kondom, botol-botol arak dan seumpamanya, dan…..dan…begitulah seterusnya. Inilah perancangan musuh khususnya Yahudi Laknatullahi ‘Alaihim dan sekutunya-sekutunya termasuk golongan yang bertopengkan Islam bagi tujuan menjauhkan anak-anak muda daripada Islam. Pendek kata, keadaan dan bentuk hiburan di tanah air kita pada hari ini telah jauh menyimpang daripada batas-batas syariat. Bukan kerana alat-alat muzik yang dimainkan kerana ia masih terdapat kekhilafan di kalangan ulamak tetapi bentuk perlaksanaan dan persembahan itu yang sememangnya disepakati atau ijmak para ulamak akan pengharamannya apabila berlaku keadaan yang disebutkan di atas. Bagi golongan ulamak yang mengharuskan alat-alat muzik, bermain dan menggunakan alat muzik dalam majlis yang haram atau untuk perkara-perkara yang haram atau yang boleh membawa kepada kemungkaran maka hukum bermain dan menggunakannya juga adalah haram. Jika tidak, maka hukumnya adalah harus.

iv) Perselisihan pendapat di kalangan ulamak mengenai hukum mendengar atau menggunakan alat-alat muzik ini khususnya apabila terdapat pendapat yang mengharuskannya dengan syarat-syarat tertentu, tidak seharusnya diambil kesempatan untuk mengambil sikap bermudah-mudah dengannya atau memandang ringan terhadap penggunaan alat-alat muzik tersebut. Pandangan atau kenyataan yang sering mengaitkan alat-alat muzik dengan kelalaian, kefoya-foyaan, budaya lepak dan membuang masa, kekhayalan yang ke semua itu akhirnya mungkin menjebakkan seseorang ke lembah maksiat tidak boleh dipandang ringan atau dinafikan begitu sahaja. Barangkali pandangan atau kenyataan tersebut ada kebenarannya, terutamanya apabila melihatkan keadaan masyarakat yang terlalu lemah iman khususnya generasi muda yang mudah terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat dan hanyut dengan keseronokan dunia pada hari ini. Oleh itu penulis berpendapat bahawa walaupun mungkin kita bersetuju dengan pendapat golongan ulamak yang kedua ini, ia tidaklah bermakna kita boleh mendengar atau menggunakannya semahu-mahunya. Kalau boleh dielakkan daripadanya maka itulah sebaik-baiknya, kerana mengambil jalan ihtiyathi – إحتياطي- iaitu mengambil sikap berwaspada dan berhati-hati agar lebih selamat – itu adalah sangat digalakkan dalam Islam. Sekiranya hendak menggunakannya juga maka biarlah dengan sebab yang kukuh dan munasabah serta wujud keperluannya. Sekali sekala mendengar atau menggunakannya untuk mengetuk pintu kesunyian maka itu barangkali tidaklah menjadi halangan. Asalkan ia tidak menjadi kelaziman dan kebiasaan kerana kita bimbang ia mungkin boleh melalaikan hati yang menyebabkan lemahnya iman kita yang sememangnya sudah sedia lemah ini. Pendek kata, walaupun ia harus pada setengah pandangan ulamak tetapi kita juga di waktu yang sama hendaklah berhati-hati dengannya.

والله أعلم بالصواب وهو حسبنا ونعم الوكيل وإليه المآب

RUJUKAN

1- Al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi; Idhohu al Dilalat fi Sama’i al Alat. Cetakan I, 1401H / 1981M. Dar al Fikr al Mu’asir, Beirut.

2- Al Imam al Syaukani; Nailu al Awtor. Juzuk 8. Dar al Jail, Beirut.

3- Al Ustaz Mustofa Ahmad al Zarqa; Fatawa Mustofa al Zarqa. Cetakan I, 1420H / 1999M. Dar al Basyir, Jeddah.

4- Al Syeikh Ja-du al Haq Ali Ja-du al Haq. Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qodhoya Mua’sirah. Juzuk 5. Al Azhar al Syarif. Mesir.

5- Dr.Yusuf al Qardhowi; Malamih al Mujtama’ al Muslim Allazi Nansyiduhu. Cetakan I, 1414H / 1993M. Maktabah Wahbah, Kaherah.

6- Dr.Yusuf al Qardhowi; al Halal Wa al Haram Fi al Islam.Terjemahan Muammal Hamidy. Cetakan ke IV, 1987. Pustaka Nasional, Singapura.

7- Dr. Ahmad al Syarbasi; Yas’alunaka fi al Din wa al Hayat. t.th. Dar al Jail, Beirut.

8- Dr. Abdul Fattah Mahmud Idris; Hukmu al Ghina’ wa al Ma’azif fi al Fiqh al Islami. Cetakan II, 1415H / 1994M. Universiti al Azhar al Syarif, Mesir.

9- Pehin Datu Seri Maharaja Ust. Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Islam Dan Muzik: Fatwa Mufti Kerajaan Brunei. Cetakan II, 2001.MR Prind Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.

Thursday, 15 September 2011

Hukum Jual Beli Emas Secara Ansuran Dan Trade In

a- Ustaz, saya ada mendengar bahawa barangan emas tidak boleh di beli secara ansuran, adakah ia benar dan mengapa? Untuk makluman, jual beli emas secara tangguh ini amat berleluasa terutamanya di Kelantan.

b- Pohon penjelasan ustaz juga berkenaan cara menukar emas lama dengan yang baru, yang dikenali sebagai "trade in" yang selalu di lakukan oleh kaum wanita di Malaysia.

- ingin selamat di akhirat-

Jawapan :

a.Jawapan Emas di Jual Beli Secara Ansuran.

Semua ulama empat mazhab mengharamkan jual beli barangan emas secara ansuran dan hutang.

Bagaimanapun, terdapat pandangan yang mengatakan ia bukan lagi di anggap emas kerana telah dibentuk, bagaimanapun semua empat mazhab menolak hujah ini kerana gelkang, cincin, rantai emas itu, walaupun telah di bentuk ia masih lagi emas dan tidak akan terkeluar dari sifat emasnya. Ia juga adalah pendapat sahabat seperti Ibn Umar, Udabah bin Somit dan disokong oleh pelbagai ulama kontemporari seperti Prof. Dr Muhydin Qurah al-Daghi, Prof Dr Ahmad al-Kurdi, Prof Dr Ali Salus. Prof. Dr Mohd Said Ramadhan Al-Buti dan ramai lagi.

Rujuk pandangan mazhab empat dalam Al-Mabsut 14/4 ; Al-Bayan wa at-Tahsil 6/444 ; At-Tamhid 2/246 ; Al-Umm , 2/32 ; Takmilah al-Majmu' oleh As-Subky . 10/83 ; Mughni al-Muhtaj , 2/25 ; al-Mughni oleh Ibn Quddamah , 6/60 )

Ibn Abd al-Barr dlm Istizkar menyatakan telah berlaku ijma' (sepakat) mengatakan bahawa emas dengan emas seperti dalam bentuk ‘at-tibr' (serbuk) dan apa jua bentuk emas tersebut, hukumnya tetap tidak harus berlaku sebarang tafadhul (tambahan dari mana-mana pihak yang berurusniaga), demikian juga perak. Justeru tidak harus membelinya secara ansuran dan hutang.

Khatib As-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (2/25) mengatakan bahawa hasil pembuatan atau tukangan emas hingga menjadi barang kemas berbentuk itu tidak memberi sebarang kesan kepada hukum emas yang asal.

Bagaimanapun terdapat satu pendapat minorti ulama yang mengatakan bahawa emas tulen apabila ia telah di bentuk sehingga menjadi rantai, gelang dan cincin. Ia telah menjadi sil'ah (barangan dagangan seperti kereta kerana terdapat proses pembentukan dan pembuatan) dan tidak lagi dianggap sebagai emas biasa, justeru hukumnya juga berubah.

Pandangan minority ini di katakan adalah pandangan Ia adalah pendapat Mu'awiyah (Rujuk riwayat ini dalam Al-Muwatta oleh Imam Malik dlm kitab Buyu' no 2541; An-Nasaie 7/279 ; Al-Bayhaqi 5/280, tapi Abu Darda telah menegur Mu'awiyyah kerana pandangannya bersalahan dengan nas hadith dan kemudian mengadu ke Sayyidina Umar, dan Umar juga mengharamkan), Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim (Rujuk I'lam al-Muwaqqi'ien, 2/141 utk pendapat Ibn Qayyim dan rujuk kitabnya Tafsir ayat Asykalat utk pendapat Ibn Taymiah 2/632 tapi jika dirujuk Majmu' al-fatawa kita akan dapati Ibn Taymiah bersama pendapat jumhur pula). Hasilnya menurut kumpulan ini adalah Harus untuk menjual dan membelinya secara hutang dan ansuran kerana ia telah jadi sil'ah (barang dagangan).

Ia disokong Prof Dr Mahmud ‘Akkam dari Syria dan disetujui oleh As-Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi (kerana "umum al-balwa" - Perkara maksiat yang kurang mudarat tetapi terlampau meluas dan sukar untuk di halang).

Mereka semua menyokong apa yang disebut oleh Ibn Rusyd al-Maliki ( w 595 H) berkata (Rujuk Bidayatul Mujtahid 2/103) yang mengatakan bahawa: "perhiasan emas dan perak sudah terkeluar dari katergori emas tulen (yang tertakluk kepada hukum tukaran emas dalam Islam), justeru harus menjual dan membelinya walaupun secara tangguh.

Ibn Mufleh al-Hanbali (w 763 H) pula berkata (rujuk al-Mubdi' 4/149) : Sesungguhnya ia telah keluar dari sifat asal dengan sebab sun'ah (pembuatan dan pertukangan).

Dalil-dalil jumhur dari pelbagai hadith, boleh rujuk di dalam kitab Az-ziyadah Wa atharuha fi al-Mu'awadah al-Maliah oleh Dr Abd Raouf Bin Muhd Al-Kamali (tesis PhD di Univ Imam dengan tahap Mumtaz, 2/558)

Kesimpulan dan pandangan terpilih : Maka hukum barang kemas adalah sama dalam hal ini, kerana ia tetap emas pada pandangan majoriti, lalu setiap pembelian dan penjualan yang dibayar menggunakan duit (maka Kesatuan Fiqh Sedunia telah memutuskan bahawa matawang kertas adalah ‘nuqud istilahiah' yang sama hukum hakamnya dengan emas, maka jual beli barang kemas dengan wang adalah nuqud dengan emas, maka wajib taqabud boleh tafadhul kerana tidak sama jenis.

b.Jawapan Bagi ‘Trade in' Emas Lama Dengan Emas Baru.

Jelas menurut perbahasan hukum bahawa ‘trade in' emas lama dengan yang baru atau barang kemas emas lama dengan yang baru mestilah mengikut hukum yang dibincangkan di atas, iaitu menurut majoriti ulama setiap barang kemas tetap dianggap emas dan bukan sil'ah, maka bila seseorang ingin menukarnya dengan barang kemas baru emas yang lain. Ia mesti punyai dua syarat tanpa khilaf (Boleh rujuk pelbagai kitab antaranya al-muamalat al-Maliah al-Mu'asiroh oleh Prof Dr Ali Salus, hlm 180 ; Al-Buyu' al-Sya'iah oleh Dr Tawfiq al-Buti dan lain-lain), iaitu :

i) Mutamathilan - mesti sama berat timbangannya. Manakala standard emas tersebut (‘Iyar) 20 atau 21 atau 24 tidak memberikan sebarang kesan. Ia adalah berdasarkan hadith yang menyebut tentang tamar khaibar (yang kurang elok atau buruk) yang ditukar dengan tamar Janib (yang elok) yang mana ianya mesti menuruti syarat sama berat walaupun berbeza kualiti. Hadith ini riawayat al-Bukhari dalam kitab al-Buyu', no 4553. Jika tidak Riba Al-Fadl akan berlaku.

ii) Mesti 'Taqabud fil hal aw fil majlis' ( diserah dan terima dalam satu masa) - kerana ia adalah tertakluk kepada hukum sarf (tukaran matawang dengan matawang), maka tidak dibenarkan untuk menangguh masa serahan. Justeru, mestilah kita menyerahkan emas lama, dan kemudian penjual menyerahkan emas baru yang sama berat pada ketika itu juga. Jika tidak, Riba Nasiah akan berlaku.

Mungkin ada yang akan bertanya, jadi kalau kita ingin melakukan 'trade in' dengan emas baru yang lebih mahal harganya?? Bagaimana kita nak bayar tambahan harga itu?

Jawabnya : Ia sama dengan kes dalam hadith Tamar Khaibar dan Janib tadi. Jawapan yang diberi oleh Rasulullah SAW adalah : "Juallah dengan sempurna , ambillah harganya dan kemudian belilah semula dengan duit kamu tadi"

JELAS, CARANYA : MESTILAH SESEORANG YANG INGIN MELAKUKAN 'TRADE IN'. MENJUAL TERLEBIH DULU KEPADA PEKEDAI EMAS ITU, LALU IA MESTILAH MENGAMBIL DUIT HARGA RANTAI LAMA ITU, CTH HARGA SEUTAS RANTAI EMAS LAMA KITA RM 2000 DAN BERATNYA 200 GRAM, APABILA KITA INGIN TRADE IN DENGAN RANTAI BERHARGA RM2500, MAKA KITA MESTI JUAL DULU, LEPAS KITA PEGANG DUIT RM2000, BARULAH KITA PILIH RANTAI BARU DAN KEMUDIAN TAMBAH DGN RM 500, KEMUDIAN PEMBELI MEMBAYAR KEPADA PEKEDAI LALU MENGAMBIL RANTAI BARU ITU.

Kemungkinan jika transaksi seumpama ini di buat di Malaysia, ia akan kelihatan pelik. Bagaimanapun itulah cara yang selamat dari Riba.

Ust Zaharuddin Abd Rahman

Friday, 29 July 2011

SELAMAT BERTUGAS DISEKOLAH BARU BUAT TUAN GURU BESAR





Assalamualaikum,
Kami Panitia Pendidikan Islam,mengucapkan Salam perpisahan buat tuan Guru Besar En Mohd Jamil Bin Yahaya kerana akan bertukar ke SK Bandar Seri Putra, bangi,Segala kenangan bersama Tuan akan kami pahatkan dalam hati dan tunjuk ajar yang diberikan,kami Dahului dengan ucakap jutaan terima kasih.Jasamu dalam ingatan kami.Jangan lupakan Kami disini.

En Mohd Jamil Bin Yahaya
2003 Hingga 2011

Wednesday, 27 July 2011

KEPENTINGAN IBADAH PUASA

SIRI 8:KEPENTINGAN IBADAH PUASA

Assalamu'alaikum wrh.

Ibadah puasa adalah termasuk dalam rukun Islam. Ini bermakna puasa termasuk ibadah yang pokok atau ibadah yang menjadi perkara asas untuk membina peribadi Muslim. Apa yang ada pada puasa hingga dipilih ALLAH untuk masuk senarai rukun Islam? Mula-mula orang yang ingin pada Islam disuruh buat pengakuan dan kesaksian keyakinannya pada ALLAH dan Rasul: "Aku  bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad itu pesuruh ALLAH."

Pengakuan ini kemudian disuruh buktikan melalui sembahyang. Berbagai ikrar, janji dan harapan kita bisikkan kepada ALLAH sewaktu sembahyang demi membuktikan kita taat tunduk (rukuk dan sujud) kepada-Nya. Menyatakan kerelaan fizikal dan mental kita menyerah diri kepada ALLAH. Menajamkan rasa
kehambaan di dalam hati dan menyuburkan rasa berTuhan di dalam jiwa.

Ibadah puasa jatuh nombor ketiga iaitu selepas ibadah sembahyang. Maksudnya, selepas membuat pengakuan taat setia, maka kita diuji dengan suatu perintah aneh iaitu puasa. Kita tidak dibenarkan makan disiang hari selama sebulan sekalipun lapar dan makanan ada dihadapan mata. Ertinya ALLAH mahu mendidik kita untuk
susah, berletih lesu, menahan keinginan pada sesuatu sekalipun ia ada di hadapan mata. Bukankah itu aneh? Orang yang jahil dan kurang faham akan menganggap ia
sebagai suatu penyiksaan dan bebanan lantaran itu berlalunya Ramadhan disambut dengan riang. Apa sebenarnya yang ALLAH kehendaki dari puasa?

Menahan keinginan terhadap sesuatu yang kita ingini adalah sesuatu yang perlu dan penting. Istilah kecewa atau frust lahir dari seseorang yang tidak dapat
menahan hati dari keinginan yang tidak tercapai. Dan kecewa adalah penyakit lumrah dalam masyarakat kini. Terkadang penyakit kecewa boleh membawa manusia kepada pelbagai lagi penyakit-penyakit jiwa yang lain.

Dan ini akan terus berlaku sebab kehidupan manusia selalunya terlalu banyak keinginan-keinginan yang tidak tercapai. Walau betapa bijak, kaya dan berkuasa
seseorang itu, dia tentu tidak dapat menolak taqdir ALLAH. ALLAH sudah tentukan bahawa tiap manusia itu akan diuji.

Tidak tahu sabar adalah suatu kekurangan yang merbahaya. Terlalu banyak perkara di dalam kehidupan yang meminta agar kita dapat berlaku sabar. Di dalam
menunaikan perintah-perintah ALLAH, di dalam menghadapi musibah dan kesabaran yang paling utama adalah bersabar di dalam meninggalkan
larangan-larangan ALLAH lahir dan bathin.
Imam Bukhari ketika bermunajat dengan ALLAH berbisik-bisik:- "Bukan aku tidak sabar dengan ujian-Mu ya ALLAH, cuma hendak mengadu pada Mu, tempat aku kembali nanti. Memohon ketenangan, keampunan dan mutmainnah."

Begitulah seharusnya hati orang Mukmin tatkala berhadapan dengan persoalan hidup. Mereka tunduk dan patuh kepada kehendak ALLAH kerana merasakan
segala-gala yang berlaku adalah dengan keizinan dan kemahuan ALLAH. Malah mereka memuji-muji ALLAH kerana Maha Bijaksana dan Maha Adil-Nya melakukan kejadian itu. Kalau ujian berupa nikmat, mereka bersyukur bersama airmata kesyukuran dan kalau berupa kesusahan, mereka bersabar dan redha bersama airmata kesabaran.

UNTUK TUJUAN INILAH PUASA ITU DIPERINTAHKAN. ALLAH TENTUKAN KEHIDUPAN DI DUNIA ADALAH PERGILIRAN NIKMAT
DAN UJIAN. DAN KEBAHAGIAAN SEBENAR IALAH PADA MEREKA YANG BOLEH BERSYUKUR DAN BERSABAR. SEBAB ITU ALLAH
MAHU DIDIK MANUSIA KE ARAH ITU.

Bila kita berpuasa bererti kita mengajak diri kita bersabar terhadap keinginan kerana ALLAH, bukan kerana lain-lain. Dan kalau ini dilatih, dibiasakan selama
sebulan, ertinya kita membuat latihan jiwa untuk bersabar, untuk patuh menanggung kesusahan kerana
ALLAH.

Jiwa yang apabila berhadapan dengan kejadian yang malang, kecewa, hampa, susah dan kegagalan akan tunduk dan sabar dengan ALLAH, kerana ALLAH. Kita boleh berikhtiar untuk elakkan kemalangan itu tapi bukan dengan hati yang panas, marah-marah dan memberontak. Sebaliknya kesabaran menghadapi ujian semakin meningkatkan rasa kehambaan di dalam hati kerana merasakan lemahnya dia untuk menolak taqdir dan kuasa ALLAH. Inilah jiwa yang tenang.

Seseorang yang merasakan puasanya selama ini tidak membuatkan jiwanya mahu bersabar dengan keinginan yang tidak tercapai, kesusahan dan kegagalan, samalah dengan orang yang tidak berpuasa. Maka kalau puasa tidak membuahkan akhlak yang mulia dengan ALLAH dan sesama manusia, maka jadilah puasa itu sepertimana sabda Rasulullah; "Tidaklah diperolehi apa-apa dari puasa itu melainkan hanya lapar dan dahaga."

Kita berlindung dengan ALLAH daripada kerugian demikian.

Selamat menunaikan ibadah puasa..Wassalam.
 

BERDOA KETIKA BERPUASA

SIRI 7:BERDOA

Asslamualaikum,

Bulan Ramadhan adalah bulan Doa,tidak semua orang islam mahu berdoa,ada sesetengahnya lebih percaya kepada usaha,dalam islam,kita sebagai hamba,mesti mempraktikkan doa dalam kehidupan seharian.
Doa disifatkan dalam salah sebuah hadis sebagai senjata orang Islam dan pada ketika yang lain diibaratkan sebagai otak dari ibadat. Orang yang berpuasa seharusnya membanyakkan berdoa kepada Allah. Doa memberi pengharapan dan menambah keyakinan seorang hamba terhadap penciptanya. Doa juga menyedarkan manusia betapa kerdil dan lemah manusia terhadap perancangan Allah.

Walau apa pun yang dirancang manusia ditangan Allah jua kuasa penentunya. Usaha manusia tidak akan dapat mengatasi qadak dan qadar Allah.

Orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa hinggakan disebut dalam satu hadis bahawa mereka termasuk dalam 3 golongan manusia yang tidak akan
ditolak doanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud 3 orang yang tidak akan ditolak doanya ialah pemerintah yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan
orang yang teraniaya. Dapatlah kita fahami di sini latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat
kepada Allah doanya mudah diperkenankan.

Manusia yang banyak berdoa kepada Allah bukan saja akan akur pada ketentuan Allah tetapi berkeyakinan bahawa Allah memakbulkan permintaannya bahkan apa yang telah ditentukan Allah adalah yang terbaik untuk dirinya.

Dalam ayat 186 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: ''Apabila hambaKu bertanya tentang Aku katakan (wahai Muhammad) bahwa Aku dekat dan Aku menyampaikan doa orang yang meminta kepada Ku.''

Allah menjanjikan bahawa setiap yang meminta pasti akan dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan mengotakan janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang
yang berdoa tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia. Kadang-kadang perancangan Allah sama dengan
perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia berbeza. Apa pun yang pasti doanya termakbul dan Allah memberi pilihan yang terbaik untuk manusia itu.

Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spirituil melalui sifat ikhlas. Amalan puasa
adalah antara manusia dengan Allah. Jika kita makan atau minum dengan diam-diam mungkin tiada siapa yang melihat cuma Allah saja yang tahu.
Dengan ini puasa menanam sifat jujur dalam diri sendiri dan kepada Allah. Apabila kita membiasakan diri dengan ikhlas, kita
bertambah yakin dengan segala tindak-tanduk kita. Kerana pentingnya sifat ikhlas ini Allah s.w.t. sendiri yang akan membatas pahala orang yang berpuasa.

Ketahanan badan yang diperoleh melalui latihan berlapar dalam puasa juga menghasilkan ketahanan mental dan rohani. Melalui puasa dapatlah kita fahami
bahawa seseorang menjadi kuat dan boleh bekerja bukanlah kerana makan saja tetapi kerana keyakinan dan iman kepada Allah akan menjadi nadi
penggerak kepadanya. Ini terbukti dalam sejarah peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan ketika pertama kali orang Islam diwajibkan berpuasa. Kekuatan seorang sahabat boleh bertambah menjadi kepada tenaga kekuatan dua puluh orang hanya kerana keimanan yang jitu pada Allah. Walaupun mereka sedang berpuasa musuh yang kenyang akhirnya tewas ditangan orang Islam yang lapar dan sedikit jumlahnya.

Kesan kerohanian ini sebolehnya dikekalkan dalam diri orang Islam. Dengan itu mereka dianjurkan meneruskan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal supaya
kekuatan rohani ini berkesinambungan. Bahkan untuk menjamin kesan kerohanian ini lebih dirasai dan berterusan, dari sebelum Ramadan orang Islam sudah mula berjinak-jinak dan berlatih melalui puasa Rejab dan Syaaban.

Puasa Ramadan berbeza dengan puasa dalam bulan lain. Ia penuh keberkatan, kedatangannya dialu-alukan dan pemergiannya ditangisi. Jika manusia tahu apa yang
terkandung daripada keberkatannya mereka akan memohon supaya Ramadan itu sepanjang tahun. Sayang sedikit bagi kebanyakan kita penekanan persediaan Ramadan ialah seolah-olah Ramadan terpaksa dilalui untuk meraikan raya. Persiapan untuk raya melebihi daripada persiapan untuk puasa., Seharusnya kita bersiap untuk puasa bersedia meningkatkan kekuatan dalaman.

Bulan Ramadan sangat istimewa. Berkat dan rahmatnya membuat kebanyakan orang terpanggil untuk membuat kebajikan dan menambah ibadat. Orang yang jarang membuat amalan sunat pun akan sanggup sama-sama berjemaah, tadarus dan bertarawih. Paling tidak pun mereka terpanggil ke masjid untuk menikmati
juadah berbuka dan ''moreh'' selepas tarawih yang disedekahkan oleh orang ramai.

Faktor pembangunan kekuatan manusia sebenarnya adalah terletak pada tiga perkara utama iaitu akal, rohani dan jasmani. Semua kekuatan ini dapat dibina melalui puasa. Akal menjadi kuat dengan pembacaan al-Quran. Rohani dan jiwa pula kental dengan zikir dan istighfar. Fizikal badan pula mendapat ketahanan melalui puasa.

Ibadat puasa sesungguhnya berbeza dengan ibadat yang lain. Kesannya tidak terlibat secara zahir. Ia lebih merupakan amalan dalaman yang tersirat dalam diri
seseorang. Ia berupaya memberi kekuatan dalaman untuk pembangunan insan.
 Selamat berdoa,semoga hajat dan kehendak kita akan termakbul..wassalam

SUNAT-SUNAT PUASA

SIRI 6: SUNAT-SUNAT PUASA

* Makan sahur serta mentakhirkannya.

* Segera berbuka dan sunat berbuka dengan buah tamar atau benda-benda yang manis atau air. Buah tamar adalah makanan yang terbaik dari segi agama dan
kesihatan dan jika tiada buah tamar berbukalah dengan air kerana ia dapat menyegarkan badan.

* Berdoa setelah berbuka - Rasulullah s.a.w berdoa setelah berbuka dengan ucapan, mafhumnya, Wahai Tuhanku aku telah berpuasa untukmu dan aku telah
berbuka dengan rezeki kurniaanmu.

* Mengkadakkan jamuan berbuka puasa – Menjamu orang-orang berbuka puasa adalah satu kebajikan.

Wajib imsak


Imsak bererti menahan diri dari makan dan minum mulai terbit fajar hingga terbenam matahari, seseorang Islam itu wajib berimsak (menahan diri) walaupun mereka
tidak berpuasa ataupun puasanya telah terbatal oleh beberapa sebab.

Mereka yang wajib berimsak

* Orang yang masih menyangka hari berkenaan masih 30 Syaaban, kemudian disedari telah satu Ramadan.

* Orang yang meninggalkan puasanya dengan sengaja. Orang yang tidak berniat pada malamnya dan tidak pula berniat puasa sebulan Ramadan.

* Orang yang berbuka kerana menyangka telah masuk waktu berbuka (Maghrib) rupa-rupanya masih siang.

Tidak wajib imsak


* Mereka yang dalam perjalanan (musafir) ketika sampai ke tempat yang dituju.

* Kanak-kanak yang hampir baligh.

* Orang kafir ketika masuk Islam.

* Orang gila ketika sembuh.

* Orang yang sakit ketika sembuh.

Adab ketika berpuasa


Perkara-perkara di bawah adalah sangat dituntut kepada umat Islam seluruhnya apatah lagi di waktu mana kita sedang mengerjakan ibadat puasa, antara tuntutan itu ialah:

* Menanamkan rasa penuh harap, segala amalan kita mudah-mudahan diterima baik oleh Allah.

* Mengurangkan makan dan minum ketika berbuka dan sahur.

* Mengelakkan diri apa-apa sahaja yang boleh membatalkan puasa.

* Mengurangkan tidur di siang hari.

* Hendaklah kita selalu mengingatkan bencana dan balasan Allah di akhirat.

* Menjauhkan diri dari mengumpat, mencerca, mencela, mencaci, maki hamun, berbohong serta mencarut dan apa-apa sahaja perkataan yang kotor dan berbau busuk dan hina didengar telinga.
 
Selamat mengamalkan amalan sunat...wassalam